HomeBerita'Macam mana anggota polis nak hidup di KL dengan gaji RM1,500, anak...

‘Macam mana anggota polis nak hidup di KL dengan gaji RM1,500, anak isteri pula sakit?’

KUALA LUMPUR: Setiap anggota baharu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dikategorikan sebagai kumpulan miskin apabila menerima gaji permulaan sebanyak RM1,441.

Paling menyedihkan apabila anggota dalam kategori terbabit ditugaskan di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang menjadikan mereka sebagai miskin bandar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata anggota terbabit menandatangani jawatan rekrut konstabel dengan tangga gaji RM1,441 dan selepas tamat latihan diberikan gaji dan elaun berjumlah RM1,800.

“Mereka ini akan membawa balik gaji bersih berjumlah RM1,500. Bolehkah anda hidup di Kuala Lumpur dengan jumlah gaji sebegitu?

“Itu tidak mengambil kira lagi kos biaya penyakit, anak istimewa (OKU), biaya hospital sehingga ada yang mendapatkan rawatan tiga kali seminggu.

“Jadi, ketua atau penyelia, sila ambil tahu dan kenal pasti anggota yang mengalami nasib sebegini dalam apa juga keadaan, sekiranya boleh bantu, maka bantulah mereka,” katanya pada Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Mohd Shuhaily berkata, selain masalah anggota dalam kategori miskin atau B40, terdapat juga pegawai atau anggota yang sanggup menolak kenaikan pangkat kerana tidak mahu berpindah ke tempat tugas baharu yang mungkin lebih membebankan keluarganya yang mengalami pelbagai jenis penyakit.

“Ada anggota datang jumpa saya beritahu terpaksa tolak kenaikan pangkat sebab isterinya lumpuh dan dua anaknya mengalami penyakit ‘Cerebral Palsy’.

“Anggota itu memaklumkan setiap pagi dia perlu mengangkat isteri dan anaknya untuk dibersihkan, pakaikan baju dan siapkan segala keperluan mereka sebelum keluar bekerja.

“Katanya, walaupun berkeadaan begitu, isterinya berusaha masak nasi lemak dan anggota terbabit menjualnya di tempat kerja, manakala elaun keluar kerja yang diperolehnya diguna untuk pembiayaan perubatan.

“Dia maklumkan kepada saya, dia ada masa untuk anak-anak dan jika ditukarkan tugas, dia tak boleh membahagikan masanya. Seorang seorang ayah dan suami, belum tentu kita dapat melaksanakan tanggungjawab seperti anggota terbabit,” katanya.

Susulan itu, Mohd Shuhaily menyatakan komitmennya sebagai seorang Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, untuk menyelesaikan masalah logistik dihadapi jabatannya termasuk masalah kebajikan meskipun modal dan aset JSJ berada pada tahap amat menyedihkan.

“Kepada ketua jabatan siasatan jenayah, jangan main sokong saja apa-apa pertukaran atau tidak sokong pertukaran jika ada anggota yang buat permohonan itu.

“Anda perlu lihat secara teliti atau mendalam bagi setiap kes sebelum membuat pertimbangan wajar,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor