HomeGlobalMacam neraka! Banduan diseksa, dibunuh di hospital tentera

Macam neraka! Banduan diseksa, dibunuh di hospital tentera

KEADAAN di sebuah hospital tentera dekat Damsyik, Syria disifatkan umpama neraka apabila para banduan yang sakit bukan sahaja secara rutin didera dan diseksa, malah dibiarkan mati di pusat perubatan itu.

Menurut satu laporan yang diterbitkan pada Selasa, banduan yang sakit akan dihantar dari penjara ke Hospital Tentera Tishreen, namun jarang menerima rawatan perubatan.

Sebaliknya, pasukan keselamatan dan kakitangan hospital bertindak melakukan ‘penyeksaan kejam’ terhadap tahanan, termasuk keganasan mental dan fizikal.

Banduan yang tiba di hospital itu buat kali pertama akan ditempatkan di sebuah bilik rawatan bersama dengan mayat tahanan sebelum ini dikumpulkan.

Pada masa sama, banduan yang sakit itu juga terpaksa membantu mengangkut mayat banduan lain, tulis laporan itu.

Selain itu, tiada sebarang bedah siasat dijalankan ke atas mayat banduan, manakala hospital terbabit turut mengeluarkan sijil kematian yang memaparkan maklumat palsu.

Antara penipuan dalam sijil itu termasuk serangan jantung, kegagalan buah pinggang atau strok sebagai punca kematian banduan.

Lebih teruk, adakalanya banduan nazak ditempatkan berhampiran mayat dan dibiarkan mati atau dibunuh.

Individu yang terselamat daripada kekejaman itu, Abu Hamza, 43, mendakwa, dia telah ditempatkan di hospital itu sebanyak tiga kali semasa dipenjarakan, namun hanya berjumpa dengan doktor sebanyak sekali.

“Banduan takut untuk pergi ke hospital kerana ramai yang tidak pulang.

“Mereka yang sakit akan dibiarkan mati di lokap hospital,” katanya seperti dilapor Arab News.

Dedah laporan itu lagi, pegawai penjara adakalanya akan membunuh tahanan yang nazak atau mengarahkan banduan lain untuk berbuat demikian.

Laporan itu ditulis oleh Persatuan Tahanan dan Orang Hilang di Penjara Sednaya, sebuah badan pemerhati di Turkiye.

Badan itu turut mendakwa, penderaan itu bermula sejak perang saudara Syria yang bermula pada 2011 hingga 2020, namun mereka percaya kekejaman itu berterusan sehingga hari ini.

Hospital Tentera Tishreen bertanggungjawab bagi kematian, penyeksaan dan memalsukan punca kematian terhadap ramai individu, kata pengasas bersama badan itu, Diab Serriya.

Author

Pilihan Editor