HomeBeritaMAIS selar kenyataan Dusuki, fahami larangan aktivis politik

MAIS selar kenyataan Dusuki, fahami larangan aktivis politik

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyelar kenyataan penceramah, Ustaz Dusuki Abdul Rani yang mendakwa kononnya jabatan itu berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan, kenyataan itu mempunyai unsur fitnah dan dibuat tanpa memahami maksud larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di Selangor.

Katanya, umat Islam dinasihatkan cakna dan memahami maksud atau tujuan titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada aktivis politik.

“MAIS menjelaskan bahawa ‘aktivis politik’ yang dimaksudkan dalam larangan ini tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

“Larangan ini juga merangkumi mereka yang menjalankan aktiviti secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan dan fanatik serta berpuak-puak di kalangan umat Islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Abdul Aziz, siasatan MAIS termasuk menerusi pengesahan tapisan keselamatan polis mendapati Dusuki tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan tersebut.

“Larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam ini dibuat bagi menghalang pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.

“Ini juga bertujuan mengelak berlaku penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia punca perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, MAIS menafikan dakwaan larangan itu sebagai sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor.

“Sebaliknya, larangan ini merupakan langkah preventif memastikan dakwah agama Islam yang disampaikan aktivis politik yang bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam agama Islam yang tidak bersikap partisan.

“Pada masa ini, terdapat 5,682 pemegang tauliah yang aktif di Selangor dan penarikan balik tauliah terhadap aktivis politik bermula tahun 2022 hanya melibatkan sejumlah 26 orang iaitu 0.5 peratus,” katanya.

Justeru, Abdul Aziz menasihatkan semua pihak sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina, mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atau arahan MAIS.

“Ini merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” tegasnya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor