HomeBeritaMalaysia sudah hantar surat kepada Indonesia tangani masalah jerebu

Malaysia sudah hantar surat kepada Indonesia tangani masalah jerebu

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia dan negara-negara ASEAN lain yang terkesan kejadian jerebu rentas sempadan sekali gus menangani masalah itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, surat itu dihantar kepada Indonesia dan negara-negara ASEAN sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya bagi menangani masalah berkenaan.

Bagaimanapun, Nik Nazmi tidak menjelaskan kandungan di dalam surat tersebut dan bila surat itu dihantar.

“Kementerian telah menghantar surat kepada menteri sejawat tentang masalah ini (jerebu). Sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri semalam, jadi, kementerian telah susulinya dengan menghantar surat kepada Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berucap ketika hadir ke Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Isu surat-menyurat antara negara bukan pertama kali dilakukan kerana semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2019, kerajaan Malaysia ketika itu juga pernah menghantar surat kepada Indonesia berhubung isu jerebu yang melanda negara ini.

Pada September 2019, cerapan IPU oleh Indeks Kualiti Udara Dunia (WAQI), Malaysia mencatat bacaan IPU 266 sekali gus meletakkan Malaysia ketika itu berada di kedudukan teratas dalam senarai negara dengan pencemaran udara tertinggi dunia.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, negara yang terkesan dengan jerebu perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia yang menjadi antara penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara sejak berpuluh tahun lalu.

Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, langkah sekadar berunding seperti dilakukan sebelum ini bagi menangani isu tersebut sudah ‘lapuk’.

Kualiti udara di seluruh negara didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini mengesyaki kemerosotan kualiti udara itu disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Bagaimanapun, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) Indonesia menafikan kebakaran hutan dan tanah di negara itu bergerak merentas Malaysia. – Utusan

Authors

Pilihan Editor