PENGALAMAN berendam dalam lumpur gunung berapi di Pulau Tiga yang terletak 17 kilometer di utara Kuala Penyu, Sabah, adalah satu hal yang menakjubkan!
Mungkin ada yang beranggapan aktiviti berlumpur itu sama sahaja seperti berlumpur di parit sawah, namun sangkaan itu meleset dek kerana keseronokan berlumpur gunung berapi di Pulau Tiga ini lebih bermakna.
Taman Pulau Tiga
Untuk pengetahuan, Pulau Tiga adalah sebahagian dari tiga pulau yang terdiri dalam Taman Pulau Tiga.
Tiga pulau yang ada dalam Taman Pulau Tiga itu ialah Pulau Tiga, Pulau Kalampunian Besar dan Pulau Kalampunian Damit (Pulau Ular).
Pulau Tiga turut dikenali sebagai ‘Survivor Island’ kerana pada tahun 2000, pulau ini menjadi lokasi penggambaran bagi siri televisyen Amerika Syarikat, ‘Survivor’ yang menempatkan sekumpulan peserta untuk bertahan hidup demi merebut hadiah bernilai $1 juta USD.
Untuk menjejakkan kaki ke Pulau Tiga, pengunjung perlu menaiki speedboat dari jeti Kuala Penyu dan perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit.
Setibanya di Pulau Tiga, pengunjung pasti terpegun dengan alam semula jadinya yang persis ‘lukisan hidup’.
Mud Volcano
Suka untuk penulis katakan, pulau ini mempunyai tarikan tersendiri kerana ia bukan sahaja menawarkan keindahan alam yang menenangkan, malah turut mempunyai sebuah kawasan yang menjanjikan kesegaran dan keseronokan tidak ternilai iaitu dikenali ‘Mud Volcano’.
Sebagai ringkasan, difahamkan Taman Pulau Tiga ini terbentuk tahun 1897 iaitu ketika terjadi gempa bumi di Mindanao, Filipina, dengan letusan gunung berapi yang disebabkan. Mindanao terletak berdekatan dengan Borneo, oleh kerana itu, Pulau Tiga mempunyai sepasang gunung berapi lumpur aktif di bahagian tertinggi pulau.
Untuk menuju ke kawasan lumpur gunung berapi ini, pengunjung perlu berjalan kaki melalui trail disediakan dalam sekitar 20 minit.
Mungkin pada awalnya, pengunjung akan berasa geli untuk memasuki kawasan berlumpur itu lebih-lebih lagi jika tiada pengalaman bermain lumpur, tapi semua itu akan hilang sekelip mata apabila pengunjung merasai sendiri kesegaran berendam dalam kolam lumpur gunung berapi itu.
Meskipun pada nama disebut lumpur ‘gunung berapi’, namun ia tidaklah sehangat yang dibayangkan sebaliknya pengunjung akan sentiasa berasa sejuk diliputi lumpur-lumpur berkenaan.
Lebih menarik lagi, amat sukar untuk berjalan dalam kolam lumpur ini namun dengan mudah pengunjung boleh terapung sendiri saat terbaring di kawasan tersebut.
Manfaat untuk kulit
Meskipun tiada kajian yang mengatakan lumpur gunung berapi itu dapat memberi manfaat kepada kulit, namun ianya seakan benar-benar berlaku.
Ramai yang berpendapat bahawa dengan mandi lumpur gunung berapi dapat merawat penyakit kulit khususnya buat mereka yang mempunyai kulit sensitif.
Malah, berdasarkan pengalaman penulis turut mengakui bahawa usai berlumpur di Pulau Tiga, kulit menjadi lebih lembut dan mulus bak bayi yang baru dilahirkan dan terasa di wajah makin berseri.
Maka tidak hairanlah jika dilihat ramai pelancong dari China, Jepun dan Korea seringkali datang bercuti di Sabah kerana mahu menuju ke Pulau Tiga demi mencantikkan kulit mereka persis ‘Sumandak’ Sabah.
Pengalaman luar biasa!
Suka untuk penulis katakan jika anda berpeluang menuju di sekitar Kuala Penyu di Sabah, luangkan sedikit waktu untuk menuju ke Pulau Tiga kerana pengalaman bermain lumpur gunung berapi di pulau itu amat bernilai dan pasti akan diingati anda sehingga tua.