HomeBeritaMahkamah & JenayahMaritim Selangor tahan 14 PATI seludup syabu

Maritim Selangor tahan 14 PATI seludup syabu

PELABUHAN KLANG: Tindakan 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba keluar secara haram dari negara ini gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada awal pagi Khamis.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Mohd Sharenliza bin Ghazali berkata, 14 PATI itu ditahan di kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Selangor.

Menurutnya, bot yang dinaiki kesemua PATI itu dikesan berdasarkan maklumat yang diterima dan panduan dari Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang, satu vesel dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Perairan Tanjung Tongkak.

Susulan itu, pihaknya mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan kejar mengejar hampir 20 minit.

“Dalam adegan itu terdapat beberapa orang telah bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan pada jam 11.10 malam,” maklumnya dalam satu kenyataan.

Mohd Sharenliza berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot fiber bewarna biru hitam tanpa nombor pendaftaran itu membawa sembilan penumpang perempuan Indonesia, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), menemukan dua beg di dalam bot yang tidak diambil oleh PATI di mana beg itu mengandungi lapan bungkusan mampat serbuk kristal bewarna putih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 9 kilogram.

“Bungkusan itu diserahkan kepada pengawai penyisat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” maklumnya.

Menurut salah seorang PATI, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup keluar dengan cara ini dianggarkan sebanyak RM1,700 sekepala dan mereka dikatakan hendak menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana membawa masuk atau keluar PATI dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Author

Pilihan Editor