HomeBeritaPolitikMas Ermieyati kekal kerusi Parlimen Masjid Tanah

Mas Ermieyati kekal kerusi Parlimen Masjid Tanah

 

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya Melaka di sini, hari ini mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Abu Bakar Katar selepas menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) terhadap dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi.

Mas Ermieyati bagaimanapun mengekalkan kerusi itu selepas mahkamah menolak petisyen berkenaan, bagi menafikan kemenangan calon PN itu.

Namun Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada 19 November 2022, Mas Ermieyati memenangi kerusi parlimen berkenaan dengan majoriti 4,411 undi selepas menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).

Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi manakala Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507) untuk sekali gus menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor