MUAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan terhadap seorang mekanik yang mengaku salah mencabul seorang gadis selepas membantu mangsa yang dikejar anjing, pada 12 Oktober lalu.
Tertuduh, Ly Vandy, 33, mengaku melakukan kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada jam 9.30 malam ketika mangsa yang berusia 14 tahun berjalan berseorangan sebelum ditegur tertuduh, namun remaja itu tidak mengendahkannya.
Bagaimanapun, mangsa dikejar anjing sebelum berlari meminta pertolongan dan secara kebetulan, tertuduh menyedari kejadian itu lalu menghulurkan bantuan dengan membawa mangsa menaiki motosikal.
Mangsa kemudian dibawa ke rumah tertuduh di sebuah kampung di Batu Pahat sebelum lelaki itu mengambil kesempatan mencabulnya, selain cuba merogol mangsa, namun tidak berjaya.
Mangsa berjaya keluar rumah itu pada jam 4 pagi dan meminta bantuan orang ramai.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan sangat serius dan faktor kepentingan awam.
“Dalam kes ini, pihak pendakwaan mendapati wajar dikenakan hukuman setimpal, apatah lagi dengan kes seksual membabitkan kanak-kanak semakin meningkat terutama di Johor,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan dua sebatan dengan hukuman itu dijalankan berkuat kuasa dari tarikh ditahan pada 13 Oktober lalu. – Berita Harian