CYBERJAYA: Sering kita dengar doa Nabi Sulaiman boleh digunakan untuk menjinakkan haiwan terutamanya haiwan buas yang berbahaya seperti ular berbisa.
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seekor ular yang agresif pada mulanya terus mendiamkan diri selepas dibacakan doa Nabi Sulaiman.
Video TikTok yang dikongsi @mohdamirfaizal melihatkan reaksi ular spesies tedung itu secara perlahan menundukkan kepala seolah-olah mendengar kata apabila diberi salam dan dibacakan doa Nabi Sulaiman oleh Amir.
“Ular tunduk bila dibagi salam dan dibacakan doa Nabi Sulaiman. Dia juga makhluk Allah, hormat menghormati sesama makhluk,” tulisnya di kapsyen.
Pemilik video yang dikenali sebagai Amir menjelaskan ular berbisa itu dikenali sebagai ular tedung O atau nama saintifiknya Naja Kaouthia.
“Ini ular kedua yang saya ambil pada minggu ni. Yang ni besar ibu jari saya sikit saja. Tapi kalau kena patuk pon dah cukup padah.
“Keluarga ni bernasib baik kerana anak mereka nampak ular sedang menjalar masuk ke bawah sofa,” katanya.
Menjawab komen netizen mengenai panggilan yang digunakan semasa menangkap haiwan berbisa itu, Amir memberitahu dia menggelarkan dirinya ‘abah’ dan memanggil haiwan yang ditangkap sebagai ‘adik’.
Video itu nyata meraih perhatian warga net yang rata-ratanya kagum dengan kelebihan doa Nabi Sulaiman serta mengakui bahawa jika diamalkan doa tersebut dapat menjinakkan haiwan berbisa.
“Aku pernah lalui situasi macam ni kat dapur rumah… aku baca ayat Nabi Sulaiman ni dalam 3x-7x. dengan izin Allah ular tersebut cari jalan keluar dari dapur,” kongsi netizen.
“Memang power doa Nabi Sulaiman ni… Saya pernah jinak kan kucing yang liar dengan menggunakan ayat ni dari liar, mencakar tetiba jadi manja,” komen netizen
Malah, ada juga netizen mendakwa Amir sengaja menekan badan ular berbisa itu menyebabkan haiwan itu tidak boleh bergerak.
“Dia dok tekan badan kawan tu mau tak pengsan darah tak jalan,” dakwa netizen.
Menjawab dakwaan itu, Amir menjelaskan dia hanya meletakkan besi itu di atas haiwan kerana khuatir ular itu melarikan diri.
“Tak tekan mana pun… Badan ular boleh meleper. Besi tu letak ja takut dia lari. Cuba lihat perut ular tu masih turun naik,” balas Amir.