KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat khas dijangka diadakan bersama semua pemegang taruh termasuk industri berkaitan beras minggu depan bagi membincangkan tawaran mengimport beras putih dari India.
Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yob berkata, pihaknya turut diundang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menghadiri mesyuarat itu yang diadakan di Putrajaya, kira-kira 3 petang, pada Rabu depan.
Justeru katanya, PPBMM tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana perlu mengetahui semua perincian berkaitan cadangan itu terlebih dahulu.
“Saya tak boleh nak komen lagi (beri sebarang kenyataan), mereka pun baru panggil kami dan semua pihak satu Malaysia untuk mesyuarat Rabu ini.
“Jadi kami mesti tahu dulu apa intipati, komitmen, kebaikan dan mekanisme tawaran ini baru kami boleh komen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau enggan memberikan kenyataan ketika diminta mengulas cadangan mengimport beras putih dari India selepas negara itu bersetuju mengeksport semula bekalan itu ke Malaysia.
Semalam, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti harga beras putih yang ditawarkan India terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Sekarang baru di peringkat persetujuan dan akan ada pula peringkat rundingan harga serta sebagainya sebelum kita ambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengumumkan, India bersetuju meluluskan eksport 170,000 tan metrik beras putih bukan basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Keputusan itu selepas Malaysia menghantar permohonan kuota khas beras putih menggunakan pendekatan kerajaan ke kerajaan (G2G) dengan mengambil kira perkongsian strategik serta hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beberapa bulan kebelakangan ini, harga beras putih import di pasaran tempatan mengalami kenaikan ketara akibat masalah bekalan beras yang dihadapi dunia kerana perubahan iklim, selain sekatan eksport dikenakan negara pengeksport utama padi termasuk India. – Harian Metro