SUBANG JAYA: MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yakin kemelut yang sedang melanda akan dapat diselesaikan tahun ini selepas syarikat penerbangan itu mendapat pelabur baharu.
Eksekutif Bertanggungjawab Sementara MYAirline, Datuk Seri Azharuddin A Rahman, berkata ketika ini pihakya sudah mendapat beberapa cadangan tunjuk minat daripada pelabur berpotensi.
Beliau berkata, langkah mendapatkan pelaburan baharu adalah penting bagi memastikan operasi MYAirline dapat diteruskan selain membolehkan pihaknya membuat bayaran balik kepada 125,000 pelanggan yang terjejas serta lebih 900 pekerja.
“Keutamaan ketika ini adalah mendapatkan pelaburan baharu bagi membolehkan operasi MYAirline diteruskan melalui Pelan Pemulihan Perkhidmatan dan Pelan Kesinambungan Perniagaan.
“Setelah itu barulah MYAirline dapat membayar semula tiket yang sudah dibeli oleh pelanggan dan membayar gaji kepada kakitangan.
“Pengutamaan semula objektif kumpulan akan dilakukan dan diumumkan setelah permodalan semula selesai,” katanya dalam sidang media khas MYAirline, hari ini.
Dalam sidang media itu juga, beliau mengakui dan memahami kekecewaan yang dialami oleh penumpang syarikat penerbangan itu.
MyAirline akui tiada pelan sokongan
“Situasi ini terjadi disebabkan kurangnya pelan sokongan di pihak kami, ditambah pula penarikan diri saat akhir pelabur,” katanya.
Azharuddin berkata, nilai pelaburan yang diperlukan MYAirline ketika ini adalah membabitkan jutaan ringgit dan terbuka untuk pemilikan 100 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Beliau berkata, nilai pelaburan sebenar yang diperlukan tidak dapat dinyatakan ketika ini, tetapi pihaknya sedang giat dalam proses rundingan jualan.
“Siapa pelabur berpotensi tidak boleh didedahkan lagi. Namun ketika ini, Datuk Goh Hwan Hua atau Allan Goh masih pemegang saham utama.
“Selain itu kami juga sedang aktif melaksanakan perbincangan dengan pemajak pesawat untuk mengekalkan pesawat MYAirline. Kami ingin mengekalkan sembilan pesawat sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Azharuddin berkata, pelanggan MYAirline yang terjejas perlu menghubungi customercare@myairline.my atau 03-8966 2522 bagi proses bayaran balik tiket.
Beliau berkata, ketika ini seramai 18,000 pelanggan yang terjejas sudah menghubungi MYAirline dan menyarankan semua pelanggan terjejas menghubungi segera pihaknya bagi memudahkan urusan bayaran balik.
“Jumlah bayaran balik yang perlu dibayar semula oleh MYAirline adalah sebanyak RM22 juta,” katanya.
MYAirline juga, katanya akan terus menjaga kebajikan pekerja dengan akan membayar bayaran berkanun dan gaji September sebaik permodalan diperoleh.
Beliau berkata, ketika ini tiada langkah pemberhentian kerja dilaksanakan selain pemberian cuti tanpa gaji dengan kesemua pekerja bekerja dari rumah atau dari ibu pejabat MYAirline.
“Kami juga berjumpa Kementerian Sumber Manusia untuk mengemas kini mereka perkara ini. Malah, MYAirline turut mengadakan tabung bantuan dalam kalangan kami untuk kepada pekerja yang memerlukan bantuan,” katanya.
Ketika ditanya sama beliau yang akan menerajui MYAirline, Azharuddin berkata tugasnya hanya bagi memulihkan situasi semasa syarikat penerbangan itu.
Beliau berkata, ketika ini adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan Pelan Pemulihan Perkhidmatan dan Pelan Kesinambungan Perniagaan terlaksana.
“Saya bertanggungjawab untuk pastikan pelan yang dirancang berjaya selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara, Stuart Cross meletak jawatan. Kami yakin pelan pemulihan dan permodalan akan dapat dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini, CEO MYAirline, Rayner Teo telah meletak jawatan berkuat kuasa 7 Oktober 2023 dan tempatnya itu digantikan oleh Cross, Ketua Pegawai Operasi yang memikul tanggungjawab sebagai CEO sementara.
Mengenai langkah seterusnya yang akan diambil oleh MYAirline selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan lesen syarikat itu digantung untuk sementara waktu, Azharuddin berkata pihaknya masih tidak mendapat notis rasmi mengenai perkara itu.
“Kami masih tidak mendapat secara rasmi. Lesen MYAirline hanya akan berakhir pertengahan November,” katanya. – Berita Harian