HomeBeritaNahas 3 maut: Pemandu Proton Wira sudah ditahan

Nahas 3 maut: Pemandu Proton Wira sudah ditahan

 

HULU SELANGOR: Pemandu Proton Wira yang terbabit dalam nahas sehingga menyebabkan kematian tiga individu di Kilometer 38, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berdekatan Serendah Golf Resort, di sini, semalam sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, lelaki warga tempatan berusia 61 tahun itu ditahan jam 11.30 malam hari yang sama di sekitar kawasan Ulu Yam Bharu.

“Hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

“Lelaki itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan susulan kemalangan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang cedera pada mata masih berada di Hospital Selayang.

“Mangsa dilaporkan masih menerima rawatan dan keadaannya stabil,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan hubungan kesemua mangsa dalam nahas itu adalah pasangan suami isteri.

Semalam, media melaporkan tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Axia dan Toyota Avanza. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor