HomeSukanPandelela raih gangsa, ulangi kejayaan 2010

Pandelela raih gangsa, ulangi kejayaan 2010

HANGZHOU: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong merangkul pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform wanita pada Sukan Asia 2022, sebentar tadi.

Pandelela yang tidak bertanding pada temasya Sukan Asia 2018 meraih pungutan mata 280.50 mata selepas lima terjunan.

“Saya sebenarnya kurang sihat, sebab itu terjunan saya pagi ini (pusingan kelayakan) tidak bagus. Saya ambil panadol selepas itu, dan pergi berurut.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana menyokong saya terutama Nur Dhabitah (Sabri) kerana selepas acara saya bersamanya, saya berasa lebih lega untuk terjun dalam acara ini.

“Olimpik Paris hanya tinggal setahun lagi, saya akan bekerja keras dan cuba melakukan yang terbaik, dan meningkatkan kualiti terjun saya,” kata Pandelela.

Seperti dijangka, China mendominasi kedua-dua pingat emas dan perak.

Juara Olimpik, Quan Hongchan memenangi emas dengan 438.20 mata sementara rakan senegaranya, Chen Yuxi meraih perak menerusi 435.65 mata.

Ini menyaksikan Pandelela, 30, menamatkan penantian 13 tahun negara untuk merangkul pingat dalam acara terbabit.

Malah, dia yang memenangi pingat terakhir bagi acara itu ketika melakukan penampilan sulungnya pada temasya di Guangzhou 2010.

Sebelum ini, Pandelela turut merangkul pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Nur Dhabitah.

Malaysia sudahpun memenangi lima pingat dari acara terjun iaitu satu pingat perak dan empat pingat gangsa setakat ini di Sukan Asia 2022. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor