SIKAP pengotor yang ditonjolkan pelanggan di sebuah tempat percutian membuatkan seorang wanita yang bekerja selaku housekeeping (tukang kemas rumah/bilik) berasa kesal.
Perkara itu susulan wanita berkenaan berkongsi kekotoran yang ditinggalkan pelanggan di celahan katil dalam sebuah bilik.
Malah, wanita itu turut meluahkan kekecewaannya dengan sebilangan pelanggan yang rata-ratanya merupakan golongan kelas atasan namun berperilaku seperti manusia tidak beradab.
“Saya buat part time kerja housekeeping tempat percutian dalam kampung ni. Harga sewaan satu malam, hampir RM5K. Iya, tak salah baca. Hampir 5 ribu ringgit.
“Jadinya kebanyakan tetamu memang orang berduit dan ada-ada la. Sepanjang saya bekerja, memang nampak jurang yang ketara orang yang betul-betul kaya dengan orang baru nak merasa kaya ni.
“Tahap sakit kepala nak mengemas selepas diorang check out pun memang berbeza. Memang la kerja saya. Tak merungut tapi sebab bila kerja macam ni kita akan jumpa pelbagai kerenah manusia jadinya banyak yang saya belajar.
“Orang yang betul-betul kaya, datang memang untuk bersantai. Gunakan ruang seminima mungkin dan jugak akan pastikan ruangan tu kemas dan bersih sebelum balik. Pendek kata memang datang untuk berehat dan bercuti dan tak bawak sekampung,” luahnya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam perkongsian sama, wanita terbabit turut menyatakan dia juga semakin hilang kepercayaan dengan wanita yang suka berhias.
Perkara itu berikutan tindakan sebilangan wanita yang gemar mencantikkan diri namun tidak menjaga kebersihan sehingga bilik yang diduduki mereka ketika bercuti ditinggalkan dalam keadaan bersepah.
“Yang acah kaya ni dan very the mekap tebal look dengan bulu mata bagaikan payung bazar ramadan, memang tinggalkan bilik betul-betul layan kita macam tukang kemas.
“Dengan tisu lap bibir merah bekas mekap, contact lens warna cheetah yang dah kering melengkung atas meja mekap, bulu mata palsu putus separuh, pembungkus makanan, resit barang shopping, dan ada jugak pembalut pantiliner terselit di celah katil,” kongsinya.
Justeru, dia berharap supaya orang ramai yang bercuti di sesebuah kawasan kekal menjaga perilaku dan menjaga adab.
“Kaya ni tak datang dengan adab. Dan orang yang betul-betul kaya, memang ada kelas tersendiri. Benarlah. Duit tak mampu beli kelas.
“Moral of the story, walaupun kita bayar, jagalah hak orang.
“Kalau tuan empunya/management buat report macam kes ambik barang tu, masak weh. Boleh jadi isu. Kena ada adab dan jagalah harta/hak orang. Jangan anggap benda tu remeh,” pesannya.