HomeBeritaPolitikPAS belum putus letak muka baharu atau kekal penyandang Parlimen Kemaman

PAS belum putus letak muka baharu atau kekal penyandang Parlimen Kemaman

CYBERJAYA: Kekosongan kerusi di Parlimen Kemaman menyaksikan PAS masih belum membuat keputusan sama ada mahu meletakkan muka baharu atau mengekalkan penyandangnya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat bagi menentukan calon PRK itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

“Pokoknya calon kita yang baru ini tidak dikenakan apa-apa sekatan untuk dipilih sebagai calon. Itu sahaja,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat setelah mengesahkan terdapat unsur rasuah bagi pilihan raya parlimen berkenaan, namun tidak menamakan mana-mana pihak.

Namun pada Selasa, Takiyuddin memaklumkan PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Ditanya mengenai nama Tun Dr Mahathir Mohamad yang disebut sebagai calon, Takyuddin berkata, mana-mana warganegara Malaysia boleh menjadi calon.

“Tak tahu kena tanya press (media) yang buat cerita tu (Tun M jadi calon PRK Kemaman). Itu bukan dari kita, jadi siapa-siapa warganegara boleh jadi calon, siapa-siapalah,” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilapor menafikan Dr Mahathir menjadi calon PAS dalam PRK Kemaman.

Author

Pilihan Editor