SHAH ALAM: Pas Kelantan akan menganjurkan Himpunan Munajat Pertahan Syariah di Stadium Sultan Muhammad IV pada 18 November nanti.
Perkara itu dimaklumkan pembahas Pas Kelantan, Muhamad Asri Mat Daud ketika membahaskan ucapan dasar presiden Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, ia sebagai tanda solidariti bersama rakyat bagi memperkasa dan mempertahankan enakmen jenayah syariah yang telah dicabar kesahannya di mahkamah.
“Kita menyeru dan mengajak seluruh perwakilan untuk sama-sama hadir nanti dan Kelantan akan menjemput kepemimpinan di empat buah negeri mentadbir untuk sama-sama menjayakannya,” katanya.
Sebelum ini, seorang peguam dan anaknya dilapor mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.
Selain itu, Muhamad Asri juga mengharapkan mana-mana parti politik perlu menghormati mandat rakyat dengan memberikan peruntukan sama rata termasuk kepada wakil rakyat pembangkang.
“Kerajaan negeri (Kelantan) memberikan peruntukan yang sama kepada ADUN pembangkang sebagai menghormati hak rakyat yang telah memilih mereka.
“Mana-mana parti memerintah sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri hendaklah menghormati hak rakyat negeri Kelantan dengan sepatutnya menyalurkan peruntukan kepada semua ahli Dewan Rakyat,” katanya. – Utusan