HomeBeritaPolitikPAS nafi Mahathir bertanding PRK Kemaman

PAS nafi Mahathir bertanding PRK Kemaman

 

KUALA TERENGGANU: PAS menafikan parti itu kemungkinan meletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai calon PAS yang bakal bertanding di kerusi tersebut sebaliknya mengetahui ura-ura tersebut menerusi media sosial.

“Tidak ada perbincangan setakat hari itu dan kami pun sebenarnya belum ‘sit down’ (bincang) dalam kalangan pimpinan tertinggi (PAS) tentang persiapan menghadapi pilihan raya terutama penentuan calon.

“Tarikh nak bincang (calon) pun belum ada lagi, mungkin minggu depan saya akan ke kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta laporan sebuah portal yang menyebut sumber rapat bekas Perdana Menteri itu mengenai dakwaan PAS kemungkinan meletakkan Mahathir sebagai calon pada PRK Kemaman.

Menurut laporan itu, kehadiran Mahathir di Dewan Rakyat akan membolehkan ahli politik veteran itu membangkitkan isu negeri dengan lebih baik.

Mahathir baru-baru ini dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS.

Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu, PAS tiada rancangan untuk meletakkan calon Bersatu bertanding di Parlimen tersebut kerana ia merupakan kerusi tradisi PAS.

Namun, katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan mempertaruhkan penyandang kerusi, Che Alias Hamid untuk mewakili PAS sekali lagi pada PRK Parlimen Kemaman.

“Segala kemungkinan berkaitan calon boleh berlaku termasuk calon luar selagi penamaan calon tidak dibuat,” ujarnya.

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

Beliau yang memperoleh 65,714 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat sebanyak 38,535 undi, calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi) dan calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340 undi). – Utusan

Author

Pilihan Editor