HomeBeritaPasang bendera gergasi tanda sokong Palestin

Pasang bendera gergasi tanda sokong Palestin

GEORGE TOWN: Bendera Palestin bersaiz gergasi dilihat berkibaran di Flat Jalan Sungai di sini sejak semalam.

Difahamkan, bendera itu dihasilkan oleh sekumpulan penduduk di Flat Jalan Sungai dengan kerjasama ahli-ahli Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang.

Lapor Utusan, bendera gergasi Palestin sepanjang 15 meter itu dikibarkan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan umat Islam Palestin yang berterusan dizalimi tentera Israel.

Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang, Muhammad Nayim Othuman Mydin berkata, mereka memasang bendera itu atas rasa tanggungjawab sebagai Muslim untuk menegakkan Islam dan membantu sesama umat.

”Program ini adalah cetusan idea seorang rakan dan kami memutuskan untuk menjalankan kutipan derma bagi menyiapkan sendiri bendera Palestin sepanjang 15 meter ini.

”Kami bersyukur kerana penduduk setempat turut menyambut baik hasrat ini dan mereka bersama-sama menyumbang masa serta tenaga bagi menjayakan program ini,” katanya pada Ahad.

Menurutnya, seramai 200 penduduk setempat terlibat memasang bendera gergasi itu di kawasan flat tersebut.

”Ini adalah isyarat kepada dunia luar bahawa kami menentang kezaliman tentera Israel terhadap penduduk di Palestin.

”Kami berdiri teguh bersama-sama perjuangan Palestin untuk mendapatkan hak mereka dan kami berharap keganasan ke atas mereka dihentikan segera,” kongsinya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Shafiz Rahim berkata, anak-anak muda di Pulau Pinang bersatu padu dan menentang keganasan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

”Perhimpunan, solat hajat untuk Palestin juga diadakan bagi menunjukkan kita berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang dizalimi.

”Kutipan dana untuk Palestin turut dilancarkan dan kita harap rakyat negeri ini tanpa mengira agama dan kaum dapat bersama-sama menyokong perjuangan Palestin,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor