HomeBeritaPBB berat sebelah, terlalu ikut telunjuk Israel punca Palestin terus ditindas

PBB berat sebelah, terlalu ikut telunjuk Israel punca Palestin terus ditindas

PETALING JAYA: Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali membidas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan tidak telus dan terlalu ikut telunjuk Israel.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Walid menyatakan PBB ‘sudah dibeli Israel’ apabila gagal bertindak membela nasib rakyat Palestin.

“PBB pandang Palestin dengan hanya sebelah mata berbanding Israel yang diagung-agungkannya.

“Apa jua resolusi yang dicapai dalam PBB untuk kesejahteraan Palestin tidak berguna langsung kerana sampai sekarang Zionis tetap menindas kami,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas badan dunia itu mengecam tindakan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, dengan menyifatkannya sebagai ‘keganasan’.

Jelas Walid, sikap berat sebelah PBB terhadap Palestin boleh dilihat apabila berterusan membiarkan Zionis menindas negara itu dan rakyatnya.

“Jika PBB benar-benar mahu bantu Palestin, tiadalah perang berlaku, tiadalah Israel bina banyak penempatan haram di tanah kami dan tiadalah penduduk ditembak setiap hari,” ujarnya.

Selain itu, Walid memaklumkan, sokongan moral daripada pelbagai negara dan pihak amat diperlukan oleh rakyat Palestin dalam menghadapi penindasan serta kekejaman Israel.

Namun, sokongan sahaja masih tidak cukup untuk membebaskan negara itu daripada penjajahan rejim Zionis dan ia perlu disertakan dengan tindakan praktikal.

“Saya beri contoh, jika Amerika Syarikat (AS) boleh bantu Ukraine dengan memberi bekalan senjata untuk melawan tentera Russia, mengapa pejuang di Palestin tidak diberikan peluang yang serupa?

“Negara-negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga boleh hulurkan bantuan serupa kepada Palestin menentang Israel.

“Sokongan moral itu penting untuk naikkan semangat, namun secara fizikalnya, kami hanya sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, beberapa pemimpin negara Arab seperti Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin.

Mereka juga menggesa supaya situasi dipulihkan bagi meredakan keganasan yang berlaku.

Mohammed menyatakan Arab Saudi akan terus berdiri bersama rakyat Palestin dan akan melakukan sebaik mungkin untuk mengembalikan semula ketenangan dan kestabilan kepada wilayah-wilayah Palestin. – Utusan

 

 

Author

Pilihan Editor