KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN yang ada kaitan dengan video tular pembabitan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.
JPN pada kenyataan hari ini berkata, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil terbabit tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
“Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.
“Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
“Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan YB (Yang Berhormat) Menteri (Saifuddin Nasution) ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun,” katanya.
JPN merujuk video yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp ketika ini berkaitan Saifuddin Nasution sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang diadakan pada pagi ini.
“Video terbabit adalah rakaman yang mana YB Menteri dijemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan pada hari ini.
“Antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang sudah dipilih oleh JPN.
“JPN adalah agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164],” katanya.
Berdasarkan akta itu, katanya, Menteri Dalam Negeri adalah menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana ia membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.
Menurutnya, selain Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa terbabit.
JPN meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke pro@jpn.gov.my. – Harian Metro