PETALING JAYA: Polis menahan pengasuh sebuah taska terkenal di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini, susulan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pengasuh berkenaan ditahan untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan.
“Pihak polis menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian bayi meninggal dunia di taska berkenaan.
“Susulan itu, pengasuh yang berusia 40-an itu telah ditahan untuk dirakamkan percakapan, namun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama kerana suspek mempunyai anak kecil. Suspek berkahwin dengan orang tempatan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Sebelum ini, bapa mangsa, Faizul Ali Adam berkata, dia menerima panggilan daripada pihak taska memberitahu anaknya tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan, sebelum dibawa ke sebuah hospital di Kota Damansara.
Sebaik tiba di hospital berkenaan, Faizal dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia dan jenazahnya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.
Faizal kemudian membuat laporan polis selepas melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di taska itu dan mendapati, ada unsur kecuaian pengasuh dipercayai warga asing di premis berkenaan ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung.
Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia pada hari kedua mangsa dihantar ke taska berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata setakat ini, tiga individu termasuk ibu bapa mangsa telah dirakamkan percakapan.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan… pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat bayi berkenaan.
“Difahamkan taska tersebut mempunyai lima cawangan keseluruhannya,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.