HomeBeritaPolitikPRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini - SPR

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini – SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Terengganu pada 2 Disember, dengan 18 November ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

Lapor Berita Harian, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari pengundian awal pula ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen Kemaman akan dibuka bermula Selasa.

SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tujuh Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya, manakala lima pasukan penguat kuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK yang turut dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

SPR juga memaklumkan sudah menerima laporan Hakim Pilihan Raya, susulan keputusan petisyen pilihan raya di mana mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Kemaman pada 19 November lalu.

Author

Pilihan Editor