HomeBeritaProgram guna replika senjata tak ikut garis panduan KPM

Program guna replika senjata tak ikut garis panduan KPM

CYBERJAYA: Penganjuran program menggunakan replika senjata di sebuah sekolah seperti yang tular dalam media sosial pada Jumaat adalah di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin.

Pada masa sama, program tersebut juga sama sekali tidak mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, pihaknya menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah KPM yang sepatutnya dijadualkan berlangsung mulai 29 Oktober hingga 3 November.

Jelasnya, program yang memaparkan unsur radikalisme dan keganasan sememangnya telah melanggar garis panduan penganjuran yang telah ditetapkan KPM.

Justeru, katanya, KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstrimisme; radikalisme dan keganasan apatah lagi dengan penggunaan replika senjata, ikon serta simbol yang mengandungi elemen provokasi dan konfrontasi yang tidak dibenarkan sama sekali.

“KPM mengambil perhatian berkaitan kebimbangan masyarakat berkaitan penularan sebuah video yang memaparkan unsur keganasan yang sedang berlegar menerusi laman media sosial.

“Ingin saya tegaskan bahawa tujuan Minggu Solidariti Palestin ini adalah untuk mendidik murid tentang nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan; keamanan; keharmonian dan kedamaian sejagat,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan.

Katanya, ia termasuk pertandingan atau sayembara puisi dan pertandingan melukis poster tema kedamaian sepanjang pelaksanaan program tersebut.

“Selain itu, program sembahyang hajat untuk mereka yang beragama Islam, munajat doa serta kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin turut digalakkan.

“Semua institusi di bawah KPM diminta untuk sentiasa mengikuti panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, tular gambar kanak-kanak memegang senjata mainan didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah.

Turut tular video memaparkan guru menggunakan replika senjata dalam sebuah program.

Badan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) dilapor mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai ‘mengejutkan dan menakutkan’.

Malah, beberapa NGO membantah arahan supaya sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini.

Author

Pilihan Editor