CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan segala surat rasmi oleh mana-mana pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta perlu diutuskan dalam bahasa Melayu.
Menurutnya, jika surat berkenaan diutus dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, ia perlu dipulangkan semula.
Beliau mengeluarkan arahan itu sebagai inisiatif memartabatkan penggunaan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tekankan dalam dasar kerajaan, saya bincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jemaah Menteri, kadang-kadang ada kekeliruan.
“Memang kita tekankan dalam bahasa perdagangan adalah bahasa Inggeris, tetapi ada sikap yang saya rasa terlajak, terpesong daripada beberapa jabatan, baik penjawat awam apatah lagi universiti (awam), universiti dan sektor swasta yang sering cuba meninggalkan asas Perlembagaan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.
“Jadi saya ingin peringatkan hal ini, jika dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk swasta… Sesiapa saja menulis (surat) selain dalam bahasa kebangsaan, (maka) surat itu akan dipulangkan,” katanya memetik Berita Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh budaya membaca generasi pada masa ini.
Beliau berharap ia tidak mati terkubur mengikut peredaran zaman sekarang yang sinonim dengan ledakan teknologi dan digitalisasi.
Memetik karya pemikir yang membicara soal perubahan teknologi, Anwar berkata, terdapat kegusaran dalam kalangan kumpulan itu kerana mendapati kurangnya minat generasi muda membaca.
Katanya, kebergantungan kepada maklumat diperoleh secara maya menerusi media sosial berupaya mempengaruhi termasuk membentuk pemikiran seseorang dalam tempoh singkat.
“Untuk terus menyuburkan tradisi memberi makna mengenai negara MADANI, kita tentunya terpaksa menggapai langit, meneroka alam pemikiran baharu, mencetuskan idea dan mengikut perkembangan alam digital serta transformasi digital.
“Semua ini imperatif yang harus dikuasai, ditangani sebijak mungkin dengan penguasaan bahasa dan kecanggihan. Perlu ingat, akal harus ke bumi dan bahasa ini adalah makna yang mengingatkan bangsa serta anak bangsa.
“Di antara pertimbangan penting adalah pemerkasaan bahasa dan budaya. Dalam MADANI itu sendiri tumpuan pemerkasaan ekonomi termasuk pengenalan bidang baharu seperti teknologi dan digital, tetapi pemerkasaan ekonomi dan digital itu tidak mematangkan negara serta budaya.
“Kita di Malaysia harus ambil iktibar daripada teguran dan kritikan ini. Tugas pendidik, guru dan pensyarah adalah memberikan dorongan serta rangsangan supaya anak kembali membaca. Mengambil pandangan Saidina Ali, minat kepada ilmu ini satu keghairahan.
“Ia adalah makrifat ilmu dan kebijaksanaan tetapi ada kelazatan, bukan kerana disiplin di fakulti atau perlu membaca (kerana) mahu lulus peperiksaan semata-mata. Ada minat membaca, cuma membaca untuk lulus. Jadi, minat dan cinta kepada ilmu harus ditanam serta diasak sejak zaman muda,” ujarnya.