KUCHING: Beberapa kawasan Parlimen baharu di Sarawak sedang diteliti untuk diwujudkan, kata Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Premier Sarawak itu berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, satu jawatankuasa khas dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan ditubuhkan bagi meneliti perkara itu.
Katanya, selepas penelitian dibuat, kerajaan Sarawak akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.
“Kami memang sedang mengkaji untuk memohon penambahan kawasan Parlimen di Sarawak, bukan sahaja di kawasan Betong tetapi seluruh Sarawak.
“Kita akan mengemukakan permohonan dan terpulang kepada SPR untuk mempertimbangkannya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Usul penambahan kawasan Parlimen itu dikemukakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk konvensyen khas berkenaan.
Julaihi dalam usul berkenaan berkata, penambahan kawasan Parlimen di Sarawak itu selaras dengan hasrat membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kawasan Parlimen di Malaysia.
Menurut Julaihi, untuk itu, Sarawak harus dipertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu dengan bahagian Betong sahaja perlu ada tiga kawasan.
Ketika ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan pembentukan kawasan baharu itu perlu dalam memastikan pengagihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.
Perkara itu penting supaya Semenanjung tidak dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti termaktub dalam MA63.