HomeBeritaSekolah perlu hati-hati kawal acara Minggu Solidariti Palestin - Anwar

Sekolah perlu hati-hati kawal acara Minggu Solidariti Palestin – Anwar

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak sekolah mengambil langkah-langkah lebih teratur bagi mengawal acara Minggu Solidariti Palestin.

Perkara itu dibangkitkan selepas tular gambar kanak-kanak memegang senjata mainan, yang didakwa berkaitan dengan acara tersebut di sekolah.

“Berhubung Minggu Solidariti Palestin, tadi kita dah bincang di Kabinet. Pertama kita galakkan Minggu Solidariti Palestin.

“Kami tak paksa mana-mana sekolah. Tapi, ia kena kawal supaya tidak menjadi masalah.

“(Bawa senjata mainan ke sekolah) itu kena kawal,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Terdahulu, badan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Presidennya, S Shashi Kumar yang menyifatkan perkara itu sebagai mengejutkan dan menakutkan seterusnya menggesa kerajaan agar menghentikan segera program tersebut.

Beliau juga berkongsi beberapa tangkap layar hantaran media sosial seorang guru perempuan, yang didakwa berkhidmat di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Tangkap layar video tular memaparkan murid sekolah mengenakan keffiyeh dan membawa senjata mainan ke sekolah.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senjata mainan, sambil mengenakan selendang keffiyeh di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan tidak peduli dengan pendirian dan keputusan diambil oleh negara-negara barat dalam konflik Palestin-Israel.

“Kita tak peduli apa keputusan yang lain. Tapi pendirian kita ialah hak rakyat Palestin mesti diberi. Ya soal tanah dia, harta dia dan maruah dia.

“Tapi, yang segera ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.

“Itu keutamaan kita sekarang,” katanya ketika diminta mengulas sekurang-kurangnya dua resolusi berhubung Palestin digagalkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Author

Pilihan Editor