HomeBeritaSelangor tarik balik tauliah mengajar agama Ustaz Abdullah Khairi

Selangor tarik balik tauliah mengajar agama Ustaz Abdullah Khairi

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada pendakwah, Ustaz Abdullah Khairi, berkuat kuasa pada 27 September lalu.

Perkara itu didedahkan pendakwah berkenaan atau nama penuhnya Abdullah Khairi Haroon, menerusi perkongsian di media sosialnya, hari ini.

Dalam hantaran itu, pendakwah berkenaan berkongsi surat yang diterimanya daripada MAIS yang memaklumkan perkara terbabit bertarikh 3 Oktober lalu.

Berdasarkan surat itu, penarikan balik tauliah mengajar beliau di Selangor diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS yang bersidang pada 27 September lalu.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan alasan tempoh tauliah mengajar beliau yang masih berbaki sehingga 31 Disember 2024 itu, ditarik balik.

Surat itu ada menjelaskan bahawa beliau boleh membuat rayuan secara bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS kepada MAIS dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat berkenaan.

“Alhamdulillah! Ala kuli halin…Selangor dah bye bye …!!,” tulis Ustaz Abdullah Khairi dalam hantaran di media sosial. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor