HomeBeritaShahidan ditegur ketika berbahas, didakwa cuba buat 'live'

Shahidan ditegur ketika berbahas, didakwa cuba buat ‘live’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ditegur kerana dikatakan cuba membuat siaran langsung ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024.

Teguran itu dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, selaras pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai larangan berkenaan, pada 16 Oktober lalu.

Alice ketika menegur tindakan Shahidan yang dikatakan cuba membuat siaran langsung melalui telefon bimbit yang diletakkan di atas mejanya turut mengarahkan bentara menyemak peranti milik bekas Menteri Besar Perlis itu.

Beliau turut menasihatkan semua Ahli Parlimen tidak menggunakan sebarang peranti bagi melakukan siaran langsung di platform media sosial masing-masing ketika sedang berbahas di Dewan Rakyat.

“Sebelum saya menjemput Arau (Shahidan) untuk berbahas, saya minta bentara untuk semak sama ada peranti di atas meja Arau adalah untuk membuat siaran langsung atau membantu ucapan Yang Berhormat (YB).

“Sebagaimana pemasyhuran Johari, mengenai peningkatan trend pemasangan peranti seperti telefon bimbit di meja untuk membuat siaran langsung di (platform) media sosial semasa ucapan YB ketika sesi Dewan Rakyat berlangsung.

“Johari menetapkan YB tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat siaran langsung di dalam Dewan Rakyat.

“Peranti tidak dibenarkan untuk membuat siaran langsung dalam Dewan Rakyat, manakala peranti lain seperti komputer riba atau tablet yang digunakan untuk membantu ucapan YB adalah dibenarkan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahidan yang tidak berpuas hati dengan teguran Alice kemudian membangkitkan Peraturan 36(6) iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas anggota lain.

Shahidan turut mempersoalkan teguran Alice yang melarang berbuat demikian.

“Saya bawa Peraturan 36(6) kerana (Kiong Yieng) bersangka jahat. Kenapa dibawa tajuk itu semasa saya berucap?

“Ini sangkaan jahat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada saya. Ini (telefon bimbit yang diletakkan atas meja Shahidan ketika mahu memulakan perbahasan) hanya untuk beri semangat ketika saya berucap.

“Kenapa saya disemak? Timbalan Yang Dipertua akan tengok nanti sama ada saya buat siaran langsung atau tidak.

“Ini cara saya, kalau tak bagi (siaran langsung), saya letak telefon seolah-olah saya ‘live’ dengan rakyat menggunakan kamera Parlimen, terima kasih,” katanya.

Keengganan Shahidan mengendahkan arahan itu mengundang kecaman beberapa wakil kerajaan yang mencelah dan mempersoal penggunaan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk membantah arahan Alice.

Antaranya ialah Tan Kar Hing (PH-Gopeng) dan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mempersoal tindakan Shahidan, selain menyifatkannya sebagai biadab. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor