KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyifatkan orang yang mengikuti ajaran agama Islam tetapi hakikatnya tidak mengakui di dalam hati adalah pihak yang munafik kerana berpura-pura.
Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, agama Islam mengajar umatnya untuk bercakap baik dan menjaga hubungan baik sesama insan.
“Bukan setiap kali bercakap, semuanya berunsurkan kebencian dan memecah belahkan umat.
“Jadi, siapa yang munafik? Mungkin sebab banyak tidur sangat dalam Parlimen ni. Bangunlah mat oi!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berceramah dalam Pentas Anak Muda di Simpang Pelangai, Pahang menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah munafik.
Wan Ahmad mendakwa, Kerajaan Perpaduan adalah hasil kerjasama merupakan perancangan antara ‘cikgu dan murid’ iaitu merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Machang tersebut mendakwa, hasil kerjasama itu akan menyebabkan ahli UMNO akan mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini.