MUAR: Seorang remaja 18 tahun yang berdepan tuduhan merogol adik tiri pada Mei lalu ditegur Hakim Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengubah pengakuan buat kali ketiga.
Hakim Abu Bakar Manat menegur tindakan remaja berkenaan dengan memberi nasihat supaya berfikir sebelum membuat pengakuan kerana tarikh perbicaraan masih jauh.
“Kamu fikirkanlah sama ada nak kekal dengan pengakuan ini (tidak bersalah) atau sebaliknya. Tarikh bicara kamu masih jauh.
“Jika kamu mahu menukar lagi pengakuan (bersalah), sila beritahu kepada peguam dan mahkamah akan menetapkan satu tarikh lain,” katanya.
Ketika kali pertama pertuduhan dibaca pada 29 Mei lalu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah namun ketika sebutan semula kes pada 27 Jun, dia mengubah pengakuan kepada bersalah.
Berikutan itu, mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman berdasarkan pengakuan dibuat, namun tertuduh sekali lagi menukar pengakuan kepada tidak bersalah.
Sehubungan itu mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan berlangsung dua hari bermula 20 hingga 21 Mac tahun depan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol adik tirinya berusia 13 tahun di sebuah rumah di Jalan Yong Peng, Ayer Hitam, Batu Pahat, jam 1 pagi, 18 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum sehingga 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili Syaffie Naim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada masa sama, mahkamah juga tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. – Harian Metro