KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyeru rakyat Malaysia supaya bersatu padu dan terus bersuara menentang keganasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata, peperangan yang bermula dengan pendudukan Israel kini telah bertukar menjadi genosid yang merupakan satu bentuk jenayah.
“Sebab itu, sebagai orang Malaysia, kita tidak patut berdiam diri. Hampir 50 peratus penduduk Gaza adalah kanak-kanak. Hak mereka untuk melindungi diri juga tidak dipedulikan.
“Malah, isu ini bukanlah isu yang membelenggu umat Islam semata-mata, orang Palestin yang beragama Kristian juga menjadi mangsa,” ulasnya.
Tambah Izzah, tindakan Zionis mengebom tempat-tempat ibadah merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh dimaafkan.
“Sebab itulah, kita perlu tunjukkan di Malaysia, kita dapat bersuara secara satu untuk menolak jenayah perang oleh Zionis dan meminta agar gencatan senjata dilakukan serta-merta.
“Hari ini, jelas sokongan kita merentasi agama dan kaum dan berpaksikan keadilan. Inilah mesej kita pada perhimpunan hari ini,” ulasnya.
Hari ini, hampir 5,000 orang berkumpul di Dataran Merdeka sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin pada Perhimpunan ‘Freedom For Palestine’.
Orang ramai dari pelbagai latar belakang agama dan bangsa berkumpul sejak pukul 10.30 pagi bersama sepanduk ‘selamatkan Al-Aqsa’, ‘bebaskan Palestin’ serta ‘hentikan genosid’.
Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE tersebut turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.
Selain itu, turut hadir ialah penceramah lain seperti pemimpin gereja Goh Keat Peng, pempengaruh Kavitha Sidhu dan aktivis hak asasi manusia Tan Zee Kin. – Kosmo!