REJIM pengganas Israel bukan sahaja menyasarkan orang awam, malah keluarga pengamal media turut menjadi mangsa akibat keganasan berterusan di Semenanjung Gaza.
Selasa lalu, tiga ahli keluarga wartawan terkemuka Al-Jazeera, Wael al-Dahdouh, 53, terbunuh selepas pengeboman rejim Zionis di wilayah itu, lapor VOA.
Ini termasuk isteri, anak lelaki dan anak perempuannya yang terbunuh di lokasi mereka berteduh di kem pelarian Nuseirat.
Anak lelaki Wael dikenali sebagai Mahmoud manakala anak perempuannya, Sham.
Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat induk Al Jazeera, Al Jazeera Media Network meletakkan kesalahan itu ke atas Israel dan menganggap pembunuhan itu tidak sebagai ‘tidak mengenal bulu’.
Katanya, keluarga Wael mendapatkan perlindungan di kem tersebut sejak 13 Oktober lalu, sejurus Israel mengarahkan orang awam berpindah ke selatan.
“Al-Jazeera amat mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan rakan sekerja kami di Gaza, manakala Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan mereka, ” kata rangkaian itu.
Sementara itu, jurucakap rejim Zionis menerusi mesej di e-mel berkata, ia kononnya menyasarkan infrastruktur Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), sambil menambah bahawa pasukannya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan korban awam.
Editor Al-Jazeera, Mohamed Moawad menerusi hantaran di media sosial berkata, Wael menghabiskan masanya pada Rabu untuk membuat liputan di Gaza, sebelum mengetahui tentang kematian keluarganya secara langsung.
Menerusi video tular pada Rabu, Wael dilihat memangku dan mengusap muka anaknya di Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah.
Gambar berasingan juga menunjukkan wartawan itu kesedihan apabila memandang wajah anak perempuannya yang berlumuran darah.
The family of Al Jazeera’s Gaza bureau chief Wael Dahdouh has been killed in an Israeli attack at the Al Nuseirat Camp in central Gaza, where they had forcibly evacuated to shelter from Israeli bombardments ⤵️ pic.twitter.com/ya64Lgunbp
— Al Jazeera English (@AJEnglish) October 25, 2023
Ketika ditemubual, Wael yang mukanya basah dengan air mata berkata bahawa, tiada sesiapa yang akan selamat di Gaza.
Sehingga Khamis, sekurang-kurangnya 27 wartawan telah terbunuh sejak serangan rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu, menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ).
22 daripada jumlah itu merupakan warga Palestin, empat dari Israel dan seorang warga Lubnan.