PETALING JAYA: Kerja-kerja mempersiapkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk menganjurkan Pestabola Merdeka 2023 masih dalam proses oleh agensi yang dilantik.
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac berkata, keadaan stadium itu akan dipertontonkan kepada umum dalam satu majlis pelancaran yang akan dihadiri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Kali pertama dalam sejarah PSM kami ada dua padang, satu saiz yang sama seperti SNBJ dibina di luar dan juga padang baharu Zeon Zoysia.
“Saya tak boleh nak beritahu banyak sangat kerana pelancarannya pada 12 Oktober ini, TMJ sendiri akan lancarkan inisiatif baginda itu, dan turut akan dihadiri oleh Hannah Yeoh,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Story di Hotel Sheraton, di sini pada Selasa.
Meskipun terdapat banyak permintaan yang mengharapkan Hans berkongsi tentang keadaan terkini stadium itu, namun beliau tidak boleh berbuat demikian bagi memberi penghormatan kepada TMJ, selaku individu yang banyak memberi sumbangan kepada perkara tersebut.
Namun, beliau percaya orang ramai pasti akan mengalami keterujaan ketika saingan Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung pada 13 Oktober hingga 17 Oktober ini.
“Kami sudah baiki tandas, tempat solat dan banyak lagi.Kami harap rakyat Malaysia akan berasa bangga dengan apa yang kita laksanakan.
“Saya tak dapat kongsikan gambar kepada orang ramai kerana pelancaran itu pada 12 Oktober ini, kita biar TMJ dan Hannah Yeoh yang kongsikan gambar itu dahulu,” tambahnya.
Selepas pasukan Palestin menarik diri dalam Pestabola Merdeka edisi ke-43, kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu hanya akan melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, India dan Tajikistan.