SEORANG wanita berusia 50 tahun nekad mengambil bahagian dalam pertandingan seni bela diri campuran (MMA), untuk bertembung dengan bekas teman wanita anaknya di Poland.
Meskipun sudah berusia separuh abad, kudrat Gosia Magical masih mampu menewaskan seterunya, Nikita Alokin yang berusia 19 tahun.
Menerusi rakaman video, kedua-dua wanita itu pada mulanya dilihat melakukan pertarungan seperti biasa, sebelum Magical menyerang Alokin dan mendorongnya untuk berundur.
Tekaan orang ramai bahawa Alokin akan memenangi pertarungan itu berikutan usia yang lebih muda dilihat meleset, berikutan Magical mempamerkan ketenangan dan terus menyerang remaja tersebut dengan tumbukan bertubi-tubi.
Pada pusingan kedua, Alokin dilihat berlari mengelilingi gelanggang untuk mencari peluang menyerang Magical.
Namun, Magical bukan sahaja berjaya mengelak serangan, malah tangkas menyepak remaja tersebut.
Dia juga dilihat menumbuk Alokin dengan tangan lurus, sekali gus menyebabkan peserta muda itu terjatuh.
Alokin tidak dapat meneruskan perjuangan dan akhirnya tewas dengan pukulan ‘technical knock out’ (TKO).
Gosia Magical, 50, berjaya menewaskan bekas teman wanita anaknya, Nikita Alokin, 19, di gelanggang MMA Poland baru-baru ini.#mma #gosiamagical #nikitaalokin
Sumber: @CSTodayNews pic.twitter.com/jvDasplbxj
— Media Variasi (@mediavariasi_) October 30, 2023
Menurut laman web mma.pl, kedua-dua wanita itu mempunyai konflik antara satu sama lain, sejak Alokin putus cinta dengan anak Magical, Daniel Zwierzynski.
Zwierzynski merupakan salah seorang pempengaruh terkenal di Poland.
Laman web itu turut melaporkan bahawa, MMA dijadikan sebagai platform untuk kedua-dua wanita tersebut menyelesaikan masalah peribadi mereka.
Untuk rekod, terdapat atlet yang masih menyertai MMA ketika usia melebihi 40 tahun termasuk Daniel Cormier, Glover Teixeira dan Randy Couture.
Bagaimanapun, ia bukanlah penghalang buat mereka untuk memenangi pertarungan dengan atlet yang masih muda.