ALOR SETAR: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah, dekat sini pada Ahad.
Mangsa meninggal dunia dalam nahas dilaporkan kepada polis kira-kira jam 7.05 malam, dikenal pasti sebagai Nur Syafiqah Abdullah, 32, manakala kakaknya yang membonceng motosikal terbabit, Nooraliza, 43, cedera.
Difahamkan, dua beradik itu merupakan peniaga yang beralamat di Kampung Ulu, Kuala Kedah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, nahas berhampiran sebuah stesen minyak itu ketika dua beradik beradik menaiki motosikal dari arah lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah.
“Kemalangan dipercayai apabila pemandu kereta yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan, terbabas dan memasuki laluan mangsa sebelum merempuh motosikal mereka.
“Berikutan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng cedera di badan. Ketika kejadian, cuaca hujan dan jalan basah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Syed Basri berkata, remaja yang memandu kereta hanya luka di hidung dan pemeriksaan mendapati, dia tidak mempunyai lesen selain tidak bersekolah.
“Kereta itu pula dipercayai milik rakan kepada ibu remaja itu. Saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.