HomeBeritaWarga asing selamba buka kedai nombor ekor dalam pangsapuri di Klang

Warga asing selamba buka kedai nombor ekor dalam pangsapuri di Klang

KLANG: Aktiviti licik sembilan peniaga warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), yang berniaga secara haram terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa.

Serbuan dalam kawasan pangsapuri di Taman Sentosa di sini, yang dilakukan selama enam jam bermula jam 8 malam itu mendapati, ada yang menjalankan kedai nombor ekor dengan lokasi itu menjadi tumpuan susulan terdapat asrama pekerja asing.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, hasil pemeriksaan mendapati peniaga terdiri daripada warga Bangladesh, Rohingya dan Pakistan berusia 30 hingga 40-an.

Katanya, mereka menjalankan perniagaan seperti kedai runcit, gunting rambut dan jahit pakaian sejak dua bulan lalu.

“Ada antara premis ini dijalankan oleh seorang wanita yang merupakan pemegang kad UNHCR selain seorang lelaki warga Indonesia bertaraf pemastautin tetap menjalankan kedai nombor ekor tanpa lesen.

“Kita tidak menolak kemungkinan perniagaan ini wujud dan mendapat permintaan khususnya di kalangan warga asing susulan terdapat asrama pekerja asing disediakan di pangsapuri tersebut,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan perkara tersebut, manakala dua kompaun telah dikeluarkan selain lapan sitaan terhadap premis tersebut.

Tambah Norfiza, dua notis turut dikeluarkan bagi pemberhentian aktiviti perniagaan serta-merta.

“Semua tindakan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil MPK. Kita akan memperhebatkan operasi berkenaan dari masa ke masa terutama lokasi tumpuan warga asing.

“Malah, MPK juga tidak mengeluarkan lesen kepada warga asing untuk berniaga,” katanya.

Author

Pilihan Editor