PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan vaksin kedua terhadap wabak malaria untuk mencegah risiko kepada kanak-kanak.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, saranan itu dibuat selepas vaksin pertama RTS,S diperkenalkan pada dua tahun lalu.
“Hari ini, saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa WHO mengesyorkan vaksin kedua, yang dipanggil R21/Matrix-M, untuk mencegah malaria pada kanak-kanak yang berisiko penyakit itu,” katanya menerusi sidang akhbar di Geneva pada Isnin.
Lapor Agensi Anadolu, Tedros berkata, ujian menunjukkan bahawa vaksin tersebut selamat, manakala pemantauan keselamatan akan diteruskan apabila ia dilancarkan.
Tambahnya, kos vaksin menelan belanja antara AS$2 (RM9.44) hingga AS$4 (RM18.89) bagi satu dos.
Katanya, pengesyoran vaksin kedua itu dibuat dengan mengambil kira nasihat daripada dua kumpulan pakar, termasuk Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi (SAGE) dan Kumpulan Penasihat Dasar Malaria.
Berdasarkan ujian di kawasan penularan, katanya, vaksin R21 mengurangkan simptom wabak malaria sebanyak 75 peratus bagi tempoh 12 bulan selepas siri tiga dos vaksin.
Jelasnya lagi, dos keempat pula diberikan setahun selepas dos ketiga untuk mengekalkan perlindungan daripada wabak tersebut.
“Keberkesanan ini serupa dengan vaksin RTS,S apabila diberikan secara bermusim,” katanya.
Meskipun kematian akibat malaria menunjukkan penurunan lebih daripada separuh sejak 2000 dan dibuang dari senarai penyakit berbahaya dunia, namun katanya, kemajuan juga sudah terhenti.
“Hampir separuh penduduk dunia kekal berisiko berdepan dengan malaria,” katanya.
Seperti yang dianggarkan, beliau berkata, sebanyak 247 juta kes dan 619,00 kematian akibat malaria dilaporkan pada 2021.
Ujarnya, 95 peratus kes dan kematian adalah di Afrika, dengan kebanyakan kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Katanya, vaksin RTS,S akan dilancarkan di beberapa negara Afrika pada awal 2024, manakala vaksin R21 dijangka tersedia kepada beberapa negara pada pertengahan tahun depan.
Tedros berkata, SAGE turut menyemak vaksin denggi dan meningitis pada mesyuaratnya minggu lepas.
Beliau juga mengesyorkan vaksin baharu terhadap denggi yang dipanggil Qdenga untuk kanak-kanak berumur antara 6 hingga 16 tahun, yang tinggal di kawasan berisiko tinggi bagi penyakit berkaitan nyamuk itu.
Bagi meningitis, vaksin yang dipanggil Men5CV telah terbukti melindungi daripada lima spesies bakteria yang menyebabkan penyakit itu.