HomeBerita11.8 juta kenderaan guna lebuh raya cuti Deepavali

11.8 juta kenderaan guna lebuh raya cuti Deepavali

CYBERJAYA: Lebih 11.8 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama negara selama dua hari mulai hari ini sehingga esok sempena cuti pe­rayaan Deepavali.

Peningkatan jumlah kende­raan itu dijangka berlaku susulan pengumuman kerajaan yang bersetuju memberikan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif pemberian tol yang bermula pukul 12.01 tengah malam tadi sehingga 11.59 malam esok adalah bagi meraikan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang akan menyambut perayaan Deepavali esok.

“Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, pemilihan tarikh itu bertujuan untuk mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar dengan anggaran jumlah trafik pada dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

“Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyela­rasan logistik tambahan, seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas dan keperluan logistik.

“Ia membabitkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

“Dengan pelaksanaan tol percuma, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya,” katanya.

Tambah Alexander, pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi cadangan ja­dual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan pe­rayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua kenderaan sempena Tahun Baharu Cina pada 20 dan 21 Januari lalu.

Pengguna lebuh raya boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.

Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Sebelum ini, Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) menjangkakan dua juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Utara Selatan (PLUS), manakala Kuala Lumpur-Karak sebanyak 173,000 kenderaan, Pantai Timur Fasa 1 (71,000) dan Pantai Timur Fasa 2 (50,000) sempena cuti perayaan Deepavali.

Tiga lebuh raya utama negara itu akan menerima peningkatan trafik berikutan pertambahan aliran keluar kenderaan dari ibu kota dan Lembah Klang menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan bermula semalam.

Author

Pilihan Editor