HomeBerita689 projek bangunkan semula sekolah daif siap sepenuhnya

689 projek bangunkan semula sekolah daif siap sepenuhnya

CYBERJAYA: Sebanyak 689 daripada 996 projek pembangunan semula sekolah daif telah siap sepenuhnya sehingga November tahun ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, 120 projek lagi masih dalam pembinaan, manakala 187 selebihnya berada dalam peringkat prabina.

Pada masa sama, KPM mengambil perhatian Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung prestasi pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif bagi tahun 2022.

“KPM telah mengambil langkah dan tindakan segera bagi memperkasakan pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara.

“Peluasan skop projek kepada semua bangunan dan fasiliti serta penggunaan skor gred impak (skala 1 hingga 7) bagi menentukan senarai keutamaan pelaksanaan projek penggantian bangunan atau fasiliti yang berada pada Skala 6 dan 7 adalah antara langkah awal utama telah diambil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut KPM, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan pada tahun 2023, selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan produktiviti sektor awam.

“Projek Pembinaan Sekolah Daif merupakan salah satu inisiatif STAR bagi menambah baik serta memantapkan proses pelaksanaan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah, seterusnya memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan yang berkualiti.

“KPM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras isu pelaksanaan projek di pelbagai peringkat serta melaporkan status semasa projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani,” katanya.

Kementerian berkata, langkah proaktif kerajaan telah menunjukkan positif, selain KPM komited memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah demi manfaat seluruh masyarakat, terutama warga sekolah.

Author

Pilihan Editor