KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berkuat kuasa 15 Disember depan.
Perkara itu disahkan sendiri Agus ketika dihubungi NST hari ini.
Beliau bagaimanapun menafikan tindakan peletakan jawatan itu berkait rapat dengan desakan susulan dakwaan prestasi J-KOM yang kurang memuaskan.
Sebaliknya, beliau mendakwa tindakannya itu disebabkan tawaran yang diterima daripada organisasi tempatan dan antarabangsa yang memerlukan khidmatnya.
Agus dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.
Beberapa pihak terutama wakil rakyat pembangkang turut menggesa J-KOM dibubarkan.
Dalam pada itu, sumber Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika dihubungi mengesahkan Agus sudah menghantar surat peletakan jawatan itu, namun tidak menyatakan sama ada peletakan jawatan itu sudah diterima atau sebaliknya.
“Betul, (peletakan jawatan) berkuat kuasa 15 Disember depan…. (sama ada) terima atau tak peletakan jawatan itu belum tahu,” kata sumber itu ringkas.
Sumber berkenaan juga tidak memaklumkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melihat surat berkenaan, memandangkan Perdana Menteri ketika ini berada di San Francisco kerana menghadiri Sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). – Berita Harian