KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu melepaskan jawatan yang disandangnya itu setelah dipilih sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan Naib Presiden Pas itu tidak menyalahi sistem demokrasi kerana Menteri Besar boleh bertanding sebagai calon di kerusi Parlimen.
Katanya, Menteri Besar juga boleh memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama.
“Saya pun pernah jadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen (Marang) iaitu pembangkang (1999). Itu biasa, tidak salah bagi politik Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Ahmad Samsuri melepaskan jawatannya dan memberi fokus kepada Parlimen Kemaman yang bakal ditandinginya.
Azalina berkata, sekiranya benar Ahmad Samsuri mahu menabur baktinya kepada penduduk di Parlimen Kemaman, beliau tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar.
Abdul Hadi berkata, pada masa ini, terdapat dua Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang turut menjadi ahli Parlimen.
Katanya, mereka ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
“Maksudnya, tiada keperluanlah (Ahmad Samsuri) untuk letak jawatan (Menteri Besar),” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri pula berkata, kenyataan Azalina itu disifatkan sebagai tidak berasas.
“Mungkin Azalina tengah pening dan stress ketika memberi kenyataan itu,” katanya. – UTUSAN