BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mungkin akan bersara sebagai ahli politik apabila berkata beliau kini di penghujung perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 1995 dan kini dirinya berada di penghujung perkhidmatan.
“Saya menjadi Ahli Parlimen dari 1995. Pada hemat saya, satu perkhidmatan yang cukup panjang.
“Saya di penghujung perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen, tetapi sebelum saya tamatkan perkhidmatan itu, saya mahu melihat Bagan Datuk membangun dan maju.
“Bagan Datuk nombor satu dalam pendidikan di Perak sekurang-kurangnya.
“Saya mahu daerah ini mempunyai infrastruktur yang baik. Kita mahu juga kemiskinan dalam kalangan orang India, Cina dan Melayu mesti dikurangkan dan inilah azam Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di sini, pada Sabtu.
Ketika diminta penjelasan betulkah penggal ini bakal menjadi penggal terakhir beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata: “Ya, di penghujung perkhidmatan. Kita akan ada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), ke-17 dan ke-18. Jadi kita tunggulah ketikanya yang sesuai.” – Utusan