HomeBeritaAman Palestin beri SPRM tempoh 3 hari nyah beku akaun

Aman Palestin beri SPRM tempoh 3 hari nyah beku akaun

 

BANGI: Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin) memberi masa tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak 23 November lalu.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, jika badan penguatkuasaan itu gagal berbuat demikian, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengutuskan surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta Pengarah Bahagian Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM berhubung tuntutan itu.

“Kami juga mahu ahli-ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

“Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat dan kerajaan mesti menjelaskan kenapa agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

“Hakikatnya, rakyat Palestin ketika ini menunggu bantuan dan masyarakat Malaysia serta dunia antarabangsa akan rasa kehilangan NGO yang banyak membantu soal kemanusian sejak 18 tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Rafique mendakwa, kenyataan media yang dibuat oleh SPRM pada 23 November lalu jelas sekali berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.

Menurutnya, ia seolah-olah terus menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta walaupun dakwaan itu telah pun dinafikan.

“Kenyataan-kenyataan SPRM yang berkait dengan kes itu ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai dan tidak berintegriti.

“SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan. Sebagai penyiasat, SPRM mestilah bertindak adil dalam siasatan dan SPRM tiada kuasa menghukum kerana itu tugas dan bidang kuasa sistem kehakiman di mahkamah.

“Tindakan SPRM yang mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa dilihat menimbulkan pelbagai tohmahan dan memberi impak besar terhadap Aman Palestin, ahli lembaga pengarahnya serta keluarga mereka,” katanya.

Pada masa sama, Rafique berkata, Aman Palestin memberi kerjasama baik kepada SPRM sejak 17 November lalu termasuk mengeluarkan kos fotokopi dokumen sebanyak hampir RM12,000.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM mengesahkan membekukan 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin berjumlah RM15,868,762 selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai. – Utusan

Author

Pilihan Editor