CYBERJAYA: Seorang wanita dikenali sebagai Makcik Kemboja membuat permohonan ampun dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu menghina Melayu.
Wanita yang merupakan seorang pemilik gedung tekstil yang menjalankan perniagaan jahitan pukal di Skudai, Johor itu tampil memohon ampun menerusi satu video yang kini tular di media sosial, pada Selasa.
Dalam video itu, Makcik Kemboja atau Maria Yaakob itu membuat permohonan ampun itu susulan pengguna media sosial meminta tindakan diambil terhadap Mariyah yang telah menghina orang Melayu.
“Bismillahirarahmanirrahim. Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik Mariyah binti Yaakob daripada Mariyah Holding Sdn Bhd mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuanku.
“Patik bangga menjadi rakyat negeri Johor, dapat berniaga di negeri Johor. Patik nak bantu lebih ramai orang lagi Tunku. Terima kasih sangat-sangat,” ungkapnya.
Sebelum ini, Makcik Kemboja dikecam teruk oleh warga net susulan memuat naik satu video mendakwa dirinya keturunan Kemboja lebih rajin bekerja berbanding orang Melayu yang disifatkannya sebagai pemalas.
“Iyalah memang saya orang Kemboja, aa kena mengena kalau kita orang Kemboja dengan orang Malaysia. I (saya) memang orang Kemboja, I dilahirkan di Kemboja tapi I dibesarkan di Malaysia.
“So (jadi) ada apa-apa, kalau orang Kemboja memang pandai meniaga kan, betul tak orang Kemboja memang rajin nak dibandingkan dengan orang Melayu malas,” kata wanita itu.