HomeBeritaBaru 6 bulan dipenjara, Siti Bainun hilang 60 kg

Baru 6 bulan dipenjara, Siti Bainun hilang 60 kg

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh enam bulan sahaja selepas dikenakan hukuman penjara, Siti Bainun Ahd Razali berjaya mengurangkan berat badan.

Difahamkan, pengasas Rumah Bonda yang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 3 Mei lalu mengalami penurunan berat badan sebanyak 60 kilogram (kg).

Berat badan wanita berusia 31 tahun itu mencecah 150 kilogram (kg) ketika mula menjejakkan kaki ke tirai besi, namun kini menyusut kepada 90 kg.

Susuk tubuh Siti Bainun yang semakin kurus itu menarik perhatian ramai pihak ketika hadir untuk pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi pada Selasa.

Lapor Berita Harian, wanita itu yang memakai jubah merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara.

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam, yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ini bermakna, wanita itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Author

Pilihan Editor