PETALING JAYA: Ahli-ahli parlimen akan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bermula esok, selepas diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Menurut takwim Parlimen Malaysia, ahli-ahli parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan RUU peringkat jawatankuasa 12 hari bermula 6 hingga 27 November ini.
Khamis lalu, RUU Perbekalan 2024 diluluskan peringkat dasar selepas lebih suara bersetuju dalam undian suara dilakukan.
Undian meluluskan belanjawan peringkat dasar menandakan berakhirnya pembacaan kali kedua dan seterusnya akan beralih ke peringkat jawatankuasa.
Jika diluluskan peringkat jawatankuasa, bacaan ketiga akan dibuat di Dewan Rakyat sebelum dibawa ke Dewan Negara melalui proses sama.
Peringkat akhir RUU tersebut akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menggulung perbahasan Belanjawan 2024, bagi Kementerian Kewangan yang merupakan kementerian terakhir membuat penggulungan.
Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Oktober lalu melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi dibentang dalam sejarah Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan manakala RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
RUU itu dibahas lapan hari mulai 16 Oktober oleh 162 ahli parlimen blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh semua 25 kementerian dan tiga Jabatan Perdana Menteri selama empat hari bermula Isnin lalu.
SESI LIBAT URUS
Menurut aturan mesyuarat Dewan Rakyat esok, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa [BN-Tampin] akan meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jenis tanaman serta ternakan yang sedang diberi tumpuan bagi menambah baik tahap sara hidup diri, agar dapat meningkatkan keterjaminan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah [PN-Indera Mahkota] pula meminta Menteri Ekonomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy [BN-Kalabakan] akan meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perkembangan terkini projek tebatan banjir dan pembinaan tebing di lencongan sungai Tawau.
Sementara itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden [PN-Alor Setar] meminta Menteri Kerja Raya menyatakan hala tuju kerajaan Persekutuan terhadap sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua lebuh raya dan usaha menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya.
Mesyuarat ketiga Dewan Rakyat berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lalu hingga 30 November ini.- Utusan