CYBERJAYA: Kanak-kanak lelaki yang melecur akibat terkena renjatan elektrik di dalam bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalani pembedahan menampal kulit pada tangannya hari ini.
Bapa mangsa, Mohd. Khairi Abdul Ghani, 38, dimaklumkan doktor pakar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) bahawa keadaan anaknya, Mohd. Dawisy Zarif Mohd. Khairi,12, stabil.
“Anak saya masih ditidurkan lagi dan hari ini (semalam) doktor memaklumkan akan menjalani satu pembedahan menampal kulit tangan, pada bahagian yang melecur teruk dahulu.
“Belum pasti ia (kulit) diambil dari kulit bahagian mana, tengok yang mana sesuai, mungkin dari kulit belakang badan,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi memberitahu, belum ada sebarang pergerakkan ditunjukkan anak bongsunya itu.
“Sebagai bapa, sudah tentu mahukan anak saya segera sedar dan kembali sihat seperti sedia kala. Doktor juga memaklumkan anak saya sudah menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif,” ujarnya.
Rabu lalu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang, Mohd. Dawisy Zarif Mohd. Khairi melecur 50 peratus akibat terkena renjatan elektrik selepas dikatakan mahu mengambil bola yang terpelanting ke dalam bilik jana kuasa itu.
Sementara itu, TNB dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, pihaknya sedia menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan yang diperlukan agar mangsa renjatan elektrik itu mendapat rawatan yang terbaik.