KUCHING: Seorang guru yang juga warden asrama sebuah sekolah di Padawan di sini, ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki sekolah berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, guru lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada penjaga mangsa jam 3.55 petang Ahad lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila suspek membawa pelajar lelaki berusia 15 tahun itu ke rumahnya dengan alasan mahu menjaga mangsa yang mengalami demam.
“Bagaimanapun ketika memandikan mangsa, suspek bertindak menyentuh mangsa secara seksual,” katanya.
Mancha berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan hukuman sebat.
“Orang ramai harus lebih peka terhadap kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Ini kerana kejadian itu boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental mangsa berpanjangan.
“Kegagalan memberi maklumat mengenai perlakuan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak lebih RM5,000,” katanya. – Harian Metro