HomeBerita'Dah 2023 pun ada lagi menteri persoal kaitan rokok dan kanser'

‘Dah 2023 pun ada lagi menteri persoal kaitan rokok dan kanser’

CYBERJAYA: Khairy Jamaluddin menempelak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang masih tidak percaya bahawa, merokok menyebabkan kanser meskipun kini sudah tahun 2023.

Menerusi hantaran di InstaStory miliknya, bekas Menteri Kesihatan itu berkongsi keratan artikel Centers for Disease Control, Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan bahawa, merokok boleh mengakibatkan kanser hampir di mana sahaja di dalam badan.

Artikel itu turut menyatakan bahawa merokok menyebabkan kanser mulut dan tekak, esofagus, perut, kolon, rektum, hati, pankreas, peti suara, paru-paru, trakea, bronkus, buah pinggang, buah pinggang pelvis, pundi kencing dan serviks dan menyebabkan akut leukemia myeloid.

“Ini fakta bukan sembang kedai kopi Bintulu.

“Kini dah tahun 2023 dan masih ada menteri dari Kerajaan Madani mempersoalkan kaitan merokok dan kanser,” tulis Khairy pada Khamis.

Terdahulu, King Sing melabel Khairy sebagai Menteri Kesihatan paling gagal dalam sejarah, berikutan kegagalannya membuktikan secara konsisten bahawa kanser berpunca daripada tabiat merokok.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa Khairy gagal melaksanakan langkah untuk menubuhkan pusat penyelidikan atau institusi berkaitan dalam menganalisis dan menyelidik lebih lanjut mengenai data terperinci pesakit kanser di dalam negara.

“Oleh itu, Rang Undang-Undang (RUU) yang anda (KJ) cadangkan ini tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertahankan, dan apa yang lebih penting, tidak seharusnya anda menyalahkan menteri lain hanya untuk melampiaskan kekecewaan anda,” katanya.

Sebelum ini, Khairy menganggap dua menteri di dalam Kerajaan Perpaduan sebagai penghalang untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG).

Difahamkan, dua menteri berkenaan adalah King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

 

Author

Pilihan Editor