HomeBeritaDeepavali: Keluarga penghuni penjara dibenar melawat pada 14, 15 November

Deepavali: Keluarga penghuni penjara dibenar melawat pada 14, 15 November

CYBERJAYA: Sempena sambutan Deepavali yang bakal disambut kurang seminggu sahaja lagi, keluarga penghuni penjara beragama Hindu diberi kelonggaran untuk membuat lawatan.

Jabatan Penjara dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, lawatan itu turut melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Dalam kenyataan sama, kebenaran lawatan diberi menerusi perjumpaan secara bersemuka pada 14 dan 15 November ini atau secara dalam talian pada 16 hingga 18 November.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka, waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan jabatan itu memaklumkan seorang penghuni dibenar untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada ahli keluarga yang membuat janji temu menerusi tiga kaedah tempahan.

Ia sama ada melalui sistem i-Visit di laman web www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat. Orang awam boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut atau melalui laman web www.prison.gov.my,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, keluarga yang memilih kaedah bersemuka, perlu membuat ujian RT-PCR atau RTK-Ag (swab/saliva) yang sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala, sebelum hadir ke institusi berkenaan, di samping membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

“Pelawat tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara,” jelas kenyataan itu.

 

Author

Pilihan Editor